Ahad, 16 Mei 2010

MASJID SULTAN RIAU.

Masjid Sultan Riau Penyengat di Tanjungpinang, Kepulauan Riau, merupakan masjid paling bersejarah di Riau. masjid ini sudah berdiri sejak 178 tahun lalu. namun bangunan yang dibuat dengan bahan campuran putih telur sebagai perekat ini tetap kokoh berdiri.


Bangunan masjid didominasi warna kuning dihiasi ornamen khas Melayu, ditopang empat buah tiang beton. Setiap sudut bangunan terdapat empat buah menara tempat muadzin mengumandangkan azan. Masjid bersejarah yang dibangun tahun 1832 telah ditetapkan sebagai cagar budaya. Dalam masjid juga terdapat musyhaf Alquran tulisan tangan hasil karya Abdurrahman Stambul, seorang warga Pulau Penyengat berangka tahun 1867.
Menurut sejarah, masjid ini dibangun dengan menggunakan campuran putih telur, kapur, pasir, dan tanah liat. Namun kekuatan bangunan tidak diragukan. Wisatawan domestik maupun luar negeri menjadikan masjid bersejarah ini sebagai tujuan wisata. Selain sebagai tempat beribadah, Masjid Sultan Riau Penyengat dibangun sebagai simbol perlawanan masyarakat Melayu Riau terhadap penjajah Belanda.

Rabu, 28 April 2010

keris pusaka


Keris ini saya perolehi dari bapa saya,menurut bapa saya keris ini milik moyang saya bernama Saleh berasal dari Kuala Luit, Pahang.Beliau bersama-sama Dato Bahaman dan Mat Kilau telah menentang penjajah di Pahang.Mereka di buru oleh pihak penjajah,Mat Kilau dan Dato Bahaman bersembunyi di Kelantan,manakala moyang saya berhijrah ke Negeri Selangor.Semasa di Pahang Beliau telah Meninggalkan dua anak lelaki bernama Awang Bakar dan Awang Din.Keris ini berusia hampir 150 tahun.

Selasa, 27 April 2010

perempuan

perempuan,wanita dan betina,
perempuan,wanita,dan betina,
tiga kata serupa makna,tapi persepsi bisa berbesa,
masing-masing punya karekteristik yang mengena,

perempuan lambang kesopanan,
membuat orang banyak tertawan,
perempuan lambang kehalusan,
membuat yang perkasa mudah di taklukan,
perempuan lambang kelembuatan,
membuat anak-anak rasa tenteram,
perempuan selalu menjaga kehormatan,
membuat si hidung belang kesurupan,

perempuan menjadi wanita,
membuat kaum adam tertawa,
wanita lebih dianggap mata duitan,
sehingga mudah ditaklukan,
wanita dianggap lebih mengerti,
terhadap hal-hal yang menguntungkan laki-laki,
wanita dianggap lebih lemah,
sehingga mudah dijarah,
wanita dianggap lebih ceria,
sehingga mudah diajak bicara,

wanita lebur menjadi betina,
timbulkesan yang beraneka rupa,
terkesan jantan seperti jagoan,
makanya ada pengulat perempuan,
terkesan garang menakutkan,
seperti inang-inang melawan petugas penertiban,
terkesan binal mengiurkan,
seperti wts(gro) di rumah hiburan,
terkesan ungkal menjengkelkan,
seperti pangamen di jalanan,

kalau begitu mana yang kau pilih?,
perempuan,wanita atau betina?,
asal jangan terpilih waria sudahlah.

9/12/2006
Dra. hj. surayatati a. manan
walikota tanjung pinang
indonesia

Isnin, 26 April 2010

wasiat raja haji fisabillillah

Tengku Puteh SEGALA puji bagi Allah dan selawat salam ke atas Nabi serta keluarganya sekalian. Ke hadrat umat Melayu di seluruh dunia. Wa ba’du, maka inilah warkah daripada Raja Haji yang fakir lagi hina di depan Allah taala. Demi malaikat yang menjadi saksi, demi pena yang melarikkan wacana dan demi lembaran yang menjadi wahana.

Ketahuilah olehmu wahai umat Melayu, peperangan ini bukanlah peperangan orang-orang Bugis. Tetapi ini adalah peperangan untuk mengembalikan maruah dan kehormatan sekalian diri orang-orang Melayu yang telah dipijak-pijak oleh penjajah Belanda laknatullah. Akan tetapi Belanda itu telah mencanangkan bahawa aku dan sekalian orang Bugis tidak berpuas hati dengan pengagihan hasil rampasan tembakau dari Kapal Betsy kepunyaan Perancis yang menceroboh Selat Melaka itu. Adapun kita adalah orang-orang Melayu yang beriman kepada Allah Taala juga menyakini bahawa peristiwa itu hanyalah asbab yang telah menyatukan orang-orang Melayu dari Teluk Ketapang, Selangor, Rembau dan dari Batang Tiga untuk menghambat Belanda keluar dari Punggor, Duyung, Pernu, Semabok, Ujung Pasir, Bunga Raya, Bandar Hilir, Bukit Cina, Tanjung Keling dan Tengkera sebelum kita berkubu di Teluk Ketapang. Orang Serani, Cina dan India turut bergabung dengan kita dalam peperangan ini. Kini Gabenor Belanda menjadi seperti tikus dikejar naga berkubu di Kota Melaka. Ke hilir kena kutuk sultan, ke mudik kena kutuk raja.

Yakni dengan kata lain, peperangan ini adalah untuk mengembalikan tanah, udara, air dan laut yang telah dirampas oleh penjajah kepada orang-orang Melayu yang sudah beratus tahun membina kehidupan, membina kota dan pelabuhan di tanah air ini. Jikalau terdapat satu pun kampung, daerah, kota dan pelabuhan yang terbakar dan ditawan oleh penjajah, maka seluruh orang Melayu di seluruh kampung, daerah, kota dan pelabuhan wajiblah bangun menentang dan menghalau mereka. Sesungguhnya orang-orang Melayu itu bersaudara dan kita tidak akan kalah dalam mana-mana peperangan pun, jika kita bersatu padu di jalan Allah.

Syahadan untuk kita bersatu di jalan Allah bukanlah suatu perkara yang mudah. Ia bagai mengepal pasir yang kering. Syaitan adalah musuh yang nyata sama ada yang terang-terang terlihat pada mata kasar mahupun yang berselindung di sebalik hati manusia. Terbukti kebenaran wahyu sejak kakiku berjejak di Terengganu, Pahang, Johor, Selangor, Kedah, Langkat, Inderagiri, Jambi, Bangka, Pontianak, Mempawah dan negeri-negeri Melayu yang lain.

Telah bersungguh-sungguh aku membantu meleraikan persengketaan yang berlaku sesama sendiri dan mematahkan muslihat penjajah laknatullah. Mana dapat dibuat damai, maka damailah yang kumeterai. Mana yang berkehendakkan peperangan, maka peperanganlah yang kupimpin kerana sudah dua ratus tahun lebih kita masih dijajah bahana berebutkan kuasa yang tidak habis-habisnya, saling berhasad dengki dan bersubahat dengan musuh. Yang ruginya rakyat jelata. Tanah diambil, hasil diperas dan tubuh diperhamba.

Maka pada hari ini, tanggal 19 Rejab 1198 Hijrah bersamaan dengan 17 Jun 1784, di Tanjung Palas Teluk Ketapang inilah warkah yang tertulis. Warkah ini kutulis di atas sejadah, mengadap kiblat dalam keadaan berwuduk setelah selesai solat dan doa panjang untuk sekalian umat Melayu. Al-Quran di sebelah kananku. Kitab Dalilul Khairat di sebelah kiriku. Badik pusaka di pinggangku.

Sungguhpun demikian, aku amat menyedari bahawa terdapat di kalangan armada perang Melayu yang aku satukan dan pimpin ini terdapat golongan Melayu yang menjadi musuh dalam selimut. Berwajah Melayu berhati Belanda. Usahlah ditanya bagaimana aku mengetahuinya kerana tahu di angin turun naiknya. Apabila Allah mengkehendaki terjadi sesuatu perkara, maka tiadalah siapapun yang dapat mengelakkannya.

Biarkan sahaja mereka menyelinap ke dalam kubu kami dan mengepung aku. Syak fasik, yakin salih; batulah yang jadi juadah! Nah, wahai si munafik! Aku sesekali tidak pernah takut kepada kalian. Marilah kita berdepan sebagai seorang lelaki Melayu yang sejati! Engkau kendonglah panji perjuanganmu. Aku junjung panji perjuanganku! Nyawa kita di tangan Allah. Matiku di medan perang ini, tandanya sentiasalah aku hidup di sisi Allah Taala. Matimu di medan perang ini, tandanya celakalah engkau di akhirat kelak.

Seyogia, ketahuilah saudaraku. Walau apapun yang terjadi kepadaku janganlah dimungkirkan kafiat jalanku ini kerana ia akan hanya mengulangi kekhilafan malaikat apabila Allah menyatakan kehendak-Nya mahu menciptakan manusia untuk dijadikan khalifah di atas muka bumi yang akan ada di kalangan manusia saling menumpahkan darah.

Janganlah kita lupa pengakuan azali kita di depan Allah. Janganlah kita melupai ilmu yang Allah ajarkan secara langsung daripada sisi-Nya kepada kita. Kerana dengan itulah kita, manusia ini, dibangga-banggakan Allah di hadapan para malaikat-Nya, kata Allah ‘Sudah kunyatakan bahawa aku lebih mengetahui daripada apa yang kamu tahu.

’ Allah Maha Besar!

Andai aku mati di medan perang ini akan berlanjutan fitnah demi fitnah yang tidak habis-habis, menghujani orang-orang Melayu di sepanjang sejarah akan datang. Manusia Melayu munafik, pengkhianat, pendengki dan petualang akan sentiasa muncul di kalangan kalian sebagai semut hitam yang melata di atas batu hitam pada waktu malam, tanpa bulan dan bintang.

Akan ada di kalangan kalian, Melayulah juga ia, yang akan menyambung lidah Belanda menuduh aku berjuang dan berperang kerana mabukkan harta dan kuasa. Sesungguhnya moyang poyangku para Opu Daeng Lima Bersaudara bukanlah mahu disanjung-sanjung dan dimegah-megah. Memadailah kukatakan apa yang kami inginkan ialah bangsa kita umat Melayu ini hidup bermaruah dan mempunyai kehormatan diri.

Maka Maha Adillah Allah Taala sebagaimana terdapat golongan yang munafik dan petualang bangsa, akan ada golongan di kalangan umat Melayu sesudah kami ini yang akan menyambung perjuangan kami. Mereka menyambut panji perjuangan kami dengan penuh harga diri. Dalam hati merekalah aku hidup dan menjadi cita-cita mereka pula mati kerana berjuang. Semangat mereka menyerupai kami, walaupun bilangan mereka tidaklah seramai golongan munafik dan petualang.

Mereka berani mati sehinggalah si petualang bangkit daripada sujud tatkala imam dan jemaah masih bersujud, lalu ditancamkan pisau di belakang antara mereka. Maka sesekali tidak mengundang gundah kerana apabila sudah datang janji Allah, maka syahidah dia. Jika yang ditikam itu masih terus hidup, maka dia akan menjadi saksi kepetualangan si munafik tersebut, lalu mudahlah dicam dan diberkas seketika itu juga. Maha Besar Allah Yang Awal dan Yang Akhir.

Ketahuilah wahai saudaraku. Bahawasanya umat Melayu tidak akan sesekali ghaib daripada muka bumi ini yang Allah telah takdirkan gunung, dataran, sungai, kuala, selat dan lautan untuknya. Semuanya akan diwariskan Allah kepada raja yang adil lagi saksama dan pembesar yang mukmin dan mukminat untuk memerintah. Maka Allah mengurniakan rahmat dan berkat daripada tujuh petala langit dan tujuh petala bumi dan semua penduduk bumi dan langit mendoakan kesejahteraan bagi segenap isi negeri.

Sesungguhnya akan tibalah pada hari dan zaman itu orang-orang Melayu semuanya akan bersatu dan sanggup mati di jalan Allah. Mereka bersedia berperang dengan musuh daripada belahan dunia mana sekalipun. Kota-kota mereka terbina daripada peradaban ilmu yang dihiasi dengan mutiara kebijaksanaan. Ulama dan cendikiawan diterima sebagai penasihat ulil amri. Para ahli sufi terbebas daripada fitnah ajaran sesat dan batil. Rakyatnya cukup makan dan untung berniaga, tanpa ada penindasan dan perampasan. Kaum-kaum lain mendapat naungan dan jaminan keadilan sehingga taat dan setia mereka tidak berbelah bahagi lagi. Zaman makmur itu akan tiba juga apabila hak-hak Allah dipenuhi. Hak-hak rakyat dilaksanakan. Peraturan-peraturan mereka ditimbang dengan syariat dan disukat dengan adat.

Syahadan, ketahuilah olehmu wahai saudaraku. Ingatlah bahawa ranting yang akan melenting, dahan yang akan mencucuk dan duri yang akan mengait. Justeru tetapkanlah waspada sebagai pengawal di pintu gerbang zaman makmur. Bulan terang paksa baik: payang ke laut, baluk pun ke laut juga. Runtuhnya zaman makmur kerajaan Melayu sebelum ini adalah kerana raja dan pembesarnya sudah ada biduk, tetapi serempu pula. Lalu timbullah perebutan, hasad, iri hati dan sengketa. Kalau rakyatnya pula suka menuntut piutang lapuk. Ditelan kemewahan dilambung mabuk. Ada juga yang menjadi seperti itik bertaji. Tandanya, keris tersisip di dinding, pedang tajam dalam sarungnya sahaja.

Musuh yang nyata disetiakawankan. Manakala sesama sendiri sanggup ‘berjuang’ hingga memancung leher. Kesudahan mereka adalah dengan suul khatimah kerana lekat pada ingatan mereka akan harta dan kuasa yang terlepas daripada tangan. Dipamerkan pula tempatnya di neraka jahanam, wa nauzubillah. Itulah jihad di jalan syaitan adanya. Benarlah, ujian-ujian daripada Allah turun bersama-sama zaman makmur.

Maka jika kita alpa dan lalai diri dengan melakukan kegiatan dan perbuatan yang dilarang Allah, maka tunggulah bala bencana daripada tujuh petala bumi dan tujuh petala langit bertali arus menimpa umat Melayu itu. Ya Allah menitis pula air mataku. Ketahuilah bahawa aku tidak pernah menitiskan air mata sebagai seorang lelaki Melayu berhati kecut. Tetapi air mataku ini mengalir apabila memikirkan anak cucu cicit yang terkemudian hari. Apalah pula ujian dan balanya; apalah pula sengketanya; apalah pula pengkhianatannya; apalah pula penyelewengannya dan apalah pula kesudahannya.

Segala ribut badai perasaanku menyatu bersama ingatan terhadap junjungan nabi kita ketika saat-saat sakaratulmaut menjelang, telah terucap di mulutnya yang mulia ‘umatku, umatku, umatku!’ Aduhai Nabi kekasih Allah! Ingatlah pada zaman manapun kalian berada sentiasalah berselawat ke atas nabi dan beramal dengan sunnah-sunnahnya kerana itulah penyelamat agung penyedar daripada alpa dan lalai, pengikis sifat munafik dan menghidupkan jiwa. Ya Allah limpahkan selawat dan salam ke atas Muhammad pada awalnya Ya Allah limpahkan selawat dan salam ke atas Muhammad. pada akhirnya. Ya Allah limpahkan selawat dan salam ke atas Muhammad pada setiap ketika. Tatkala sampai di baris ini, aku sedang melihat berpuluh kapal perang armada Belanda pimpinan Peter van Braam dari Betawi itu, sudahpun tiba di pantai. Demi Allah, yang hidup dan matiku hanyalah di tangan-Nya, sedikitpun aku tidak berasa gentar, apatah lagi untuk berundur walau seinci pun ke belakang kerana kuyakini Allah sentiasalah ada bersamaku dengan panji janji-Nya dan panji kebenaran-Nya. Biarlah luka di dada jangan luka di belakang.

Rencana si munafik itu sampailah ke kemuncaknya apabila mereka dapat masuk menyelinap ke dalam kubuku, merampas pemurasku yang disandarkan ke dinding, maka ketika itu sampailah ilham daripada Allah kepadaku. Bahawa aku kini hanya ada sebilah badik tersisip di pinggang dan hijap yang terangkat antara aku dengan Tuhanku. Seraya langsung aku memanjatkan doa, “Ya Allah sesungguhnya aku telah dizalimi dan dikhianati. Aku bentangkan ke hadrat-Mu seluruh pengharapan-Mu dengan segala fakir dan hina diriku, Engkau jadikanlah warkahku ini terhijab daripada pandangan mata setiap munafik dan musuh-musuhku serta Engkau peliharakanlah warkahku ini hingga sampai ke hujung zaman agar dapat dibaca dan ditilik oleh anak cucu cicit kami pada kemudian hari.

“Ya Allah. Tidak sampai hati mahu kupinta celaka untuk segolongan Melayu yang bersubahat dengan penjajah itu. Ya Allah jadikanlah anak cucu cicit kami di kemudian hari berjuang dan berperang dengan lebih berani dan gagah di jalan-Mu. Ya Allah tempat aku juga di sisi kekasih-Mu, Rasulullah yang aku rindui dan cintai segenap hatiku sekiranya aku gugur di jalan-Mu Ya Allah. Sungguh Engkau Maha Mengabulkan doa.

” Tatkala itu munafik-munafik itu mahu menangkap aku yang masih bertimpuh di atas sejadah. Namun demikian dengan kuasa Allah Taala segala sendi pada tubuh mereka, terkunci kaku seperti patung adanya. Maka bingkaslah aku daripada duduk lalu aku pandang satu persatu wajah-wajah Melayu munafik itu. Benarlah, peluru perak pemecah kubu yang kuat. Sungguh kawat yang dibentuk, ikan ditebat yang diadang. Tiada gunanya lagi kata-kata kerana perut tidak bertelinga. Sesudah itu berjalanlah aku menuju ke muka kubu dan tersergamlah kapal perang penjajah laknatullah itu pada pandanganku. Inilah Raja Haji yang kalian cari-cari. Syarak yang mengata, adat yang memaksa. Dengan badik di tangan kanan dan Dalilul Khairat di tangan kiri, lidahku berwiridkan selawat.

Bammm!!!

Bunyi bedilan sebuah meriam daripada salah sebuah kapal Belanda yang muncungnya dihala ke batang tubuhku, bergema ke udara. Ah! Sungguh beruntung pengkhianat itu kerana dapat menyaksikan lagi kuasa Allah apabila peluru lela rentaka meletup di dalam lubangnya sendiri, lalu terpelantinglah askar Belanda berselerak di atas kapal dan sebahagiannya pula jatuh ke dalam laut. Beranak pinaklah pula bunga-bunga api membakar kapal perang itu. Panglima Perang Belanda Peter van Braam nyatalah amatlah terkejut adanya. Bertambah maraklah lagi semangat jihad yang menjulang-julang dalam dada pejuang-pejuang Melayu. Bertambah amuklah mereka hingga berkecamuk barisan penembak pasukan askar Belanda itu.

Lantas bertafakurlah aku apabila melihat keadaan itu. Aku berserah sepenuhnya kepada Allah untuk menetapkan apa jua keputusan-Nya. Beberapa ketika kemudian dapatlah aku ilham daripada-Nya seraya aku bermohon, “Ya Allah aku berserah kepada-Mu seluruh jiwa dan ragaku. Aku rela syahid Ya Allah di jalan-Mu, daripada kehormatanku dan kehormatan umat Melayu ini dipijak-pijak oleh penjajah laknat ini setelah ditipudayakan oleh petualang daripada bangsa kami sendiri.” Arakian Panglima Perang Belanda itu sendiri segera menyalakan sumbu ubat bedil merim lela rentaka yang muncungnya dihalakan tepat ke dadaku.

Bammm!!!

Maka sampailah janji Allah. Mencurahlah darah daripada dadaku. Jasadku rebah ke tanah. Tiada Tuhan Melainkan Allah. Maka terpinga-pingalah para munafik dan petualang apabila melihat askar penjajah memijak-mijak batang tubuhku, membakar al-Quran dan Dalilul Khairat. Badikku pula dilemparkan ke dalam laut. Pecahlah kapi, putuslah suai. Datanglah masyghulku, tetapi seketika itu juga difahamkan Allah kepadaku bahawa itulah tanda-tanda doaku yang telah dimakbulkan Allah.

GLOSARI:
• Ke hilir kena kutuk sultan, ke mudik kena kutuk raja = Orang yang serba salah kerana melanggar perjanjian.
• Bagai mengepal pasir yang kering = Kesukaran menyatukan perbezaan pandangan tahu di angin turun naiknya, tahu tentang alamat tentang peristiwa yang bakal terjadi.
• Syak fasik, yakin salih; batulah yang jadi juadah = Yakin maksud tercapai.
• Ranting yang akan melenting, dahan yang akan mencucuk dan duri yang akan mengait = Halangan dan rintangan dalam sesuatu usaha.
• Bulan terang paksa baik: payang ke laut, baluk pun ke laut juga = Dalam zaman kemakmuran semua orang berlumba-lumba mencari keuntungan.
• Sudah ada biduk, tetapi serempu pula = Berebut kuasa.
• Menuntut piutang lapuk = Melakukan sesuatu yang sia-sia.
• Itik bertaji = Sangat penakut tetapi sombong.
• Keris tersisip di dinding, pedang tajam dalam sarungnya = Perbuatan yang pandir.
• Biarlah luka di dada jangan luka di belakang = Biar alah kerana melawan jangan alah kerana melarikan diri.
• Peluru perak pemecah kubu yang kuat = Kerana duit semuanya dibongkarkan
• Sungguh kawat yang dibentuk, ikan ditebat yang diadang = Tipu muslihat yang tersembunyi demi mencari keuntungan diri.
• Perut tidak bertelinga = Nasihat yang tidak akan diturutkan
• Syarak yang mengata, adat yang memaksa = Syarak dan adat tidak dapat dipisahkan
• Pecahlah kapi, putuslah suai = Sesuatu yang tidak dapat dibaiki lagi (sejarah) dan menanggung malu teramat sangat.

Rabu, 22 Julai 2009

Mengikut Catatan Raja Ali Haji dalam bukunya Salasilah Melayu dan Bugis serta Tuhfat Al-Nafis, Putera Bugis lima bersaudara ini adalah dari keturunan Opu Tendriburang Daeng Rilaga iaitu putera La Maddusalat, seorang Raja Bugis di negeri Luwuk. Opu Tendriburang Daeng Rilaga mempunyai lima orang anak iaitu Daeng Perani, Daeng Chelak, Daeng Marewah, Daeng Menambun & Daeng Kemasi.Opu Daeng Rilaga bersama anak-anaknya keluar dari Luwuk setelah ayahandanya Opu La Maddusalat mangkat. Beliau memulakan perjalanan ke negeri To Pammana. Di sini beliau disambut meriah oleh pemerintah To Pammana. Beliau Kemudian ke Bone dan seterusnya ke Betawi bertemu dengan saudaranya Opu Daeng Biasa. Selepas pertemuan itu, beliau berangkat ke Siantan. Ketika di Siantan, Opu Daeng Perani telah berkahwin dengan anak Nakhoda Alang, keturunan Makasar. Dari Siantan Opu Daeng Rilaga bersama anak-anaknya mengambara ke Johor dan Melaka serta Kemboja. Setelah beberapa lama tinggal di Kemboja, Opu Daeng Rilaga dan anak-anaknya kembali ke Siantan. Apabila mereka sampai di Siantan, isteri Opu daeng Perani telah selamat melahirkan seorang anak lelaki yang diberi nama Daeng Kemboja sempena kepulangannya dari negeri kemboja.Tidak berapa lama pulang dari Kemboja, Opu Daeng Rilaga telah mangkat. Oleh yang demikian, peranan beliau telah diambil alih oleh Opu Daeng Perani.Opu Bugis lima bersaudara ini kemudiannya telah terlibat dengan Johor, Linggi [Negeri Sembilan], Selangor, Perak & Kedah di Semenanjung Tanah Melayu, manakala Matan, Sambas & Mempawah di Kalimantan Barat.


Setakat ini penyelidikan di Kampung Ekor Lubuk tidak ditemui sebarang nashkah Melayu yang menyentuh Makam Oopu Daeng Perani. Namun begitu tokoh-tokoh kampong dan beberapa org kampong yang disoal selidik dengan yakin menyatakan bahawa Makam Opu Daeng Perani ada di Kampung Ekor Lubuk. Antara mereka yang memberikan maklumat mengenai Makam OPu Daeng Perani di Kampung Ekor Lubuk ialah Che Gani, Wan Osman, Ustaz Wan Hizam dan Wan Hassan. Mereka ini jika disalurgalur ke atas akan sampai kepada keturunan Opu Daeng Perani dengan isterinya Tunku Aishah, saudara perempuan kepada Sultan Muhammad Jiwa Kedah. Mereka mendapat maklumat tersebut daripada keturunan terdahulu.Keabsahan maklumat daripada mereka yang berkenaan boleh dipertanggungjawabkan. Selain daripada berasal daripada Kampung Ekor Lubuk, mereka adalah keturunan Opu Daeng Perani.

Jumaat, 17 Julai 2009

kesultan selangor.

Kesultanan awal Selangor juga bermula dari Kuala Selangor kerana kesan-kesan yang membuktikan pendapat ini masih terdapat di Kuala Selangor hingga sekarang ini. Akhir K.M 17 di Kuala Selangor telah mempunyai Yam Tuan iaitu seorang raja dari negeri Gua Tanah Bugis bernama Arang Pasarai dan anaknyalah yang berkahwin dengan Daeng Perani, salah seorang anak raja Bugis lima bersaudara kemudiannya mendapat puteri Berima.
Daeng Perani dengan bantuan saudara-saudaranya pergi membantu Sultan Kedah kerana rebutan kuasa. Dalam pertempuran ini Daeng Perani mangkat tertembak. Seorang lagi dari Raja Bugis itu ialah Daeng Chelak berkahwin dengan Tengku Mandak adinda kepada Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah ( 1722-1760) Johor. Apakala Daeng Chelak bertugas ke Riau sebagai Yam Tuan Muda Riau ke 11 dalam tahun 1730an, seorang Bugis bernama Daeng Mateko yang berbaik dengan Raja Siak mengacau ketenteraman Selangor.
Ini menjadikan Daeng Chelak datang ke Kuala Selangor dengan angkatan perang dari Riau. Daeng Mateko dapat dikalahkan kemudiannya beliau lari ke Siak. Dari semenjak itulah daeng Chelak sentiasa berulang-alik dari Riau ke Kuala Selangor. Lalu berkahwin dengan Daeng Masik Arang Pala kemudian dibawa ke Riau. Daeng Chelak mangkat dalam tahun 1745.
Ketika Daeng Chelak berada di Kuala Selangor penduduk Kuala Selangor memohon kepada beliau supaya terus menetap di situ sahaja. Walau bagaimana pun Daeng Chelak telah menamakan salah seorang daripada puteranya iaitu Raja Lumu datang ke Kuala Selangor.
Menurut Tuffatul al Nafis karangan Almarhum Raja Ali Al Haji, Riau, disitu ketika Tengku Raja Selangor (Raja Lumu) pergi bermain ke Pulau Pangkor, Raja Lumu dijemput oleh Yang DiPertuan Perak untuk mengadap. Dalam perundingan di antara kedua pihak itu bersetuju melantik Tengku Raja Selangor menjadi Yang DiPertuan Besar Selangor digelar Sultan Salehuddin. Kemudian Sultan Salehuddin pun berangkat pulang ke Kuala Selangor diiringi sendiri oleh Yang Dipertuan Besar Perak.
Setelah sampai ke Kuala Selangor Sultan Salehuddin pun ditabalkan dihadapan rakyak Selangor dengan penuh istiadat. Dari sejak itu antara keduanya menjadi sahabat baik sentiasa berutusan.


Tetapi Sejarah Melayu v ditulis oleh Buyong Adil dalam The Malay School Series 1952 menyebut Sultan Selangor itu memerintah dalam tahun 1743-1770. Ketika itu baginda berangkat ke Perak dan dinobatkan oleh Sultan Perak bergelar Sultan Salehuddin
Begitu juga dalam sebuah buku cenderamata Selangor 1939 yang bertulis dalam tulisan jawi, diruangan salahsila Sultan Selangor bertulis Sultan Salehuddin memerintah dalam tahun 1743.
Keterangan ini berkemungkinan ada benarnya kerana memandangkan tarikh yang disebut di atas tadi, Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah Johor dan Riau apabila berkirim surat kepada Raja Lumu, baginda menggunakan gelaran Sultan Salehuddin.
Sejarah Johor ini juga ada mengatakan pada 30hb. January, 1756, Sultan Sulaiman (Johor) berangkat ke Riau. Pada tahun itu juga didapati bermulanya gelaran raja pemerintah Selangor itu Sultan Salehuddin iaitu abang Raja Haji, putera Daeng Chelak Yamtuan Muda Riau Kedua.


Salasilah Kesultanan Selangor

SULTAN SALEHUDDIN (RAJA LUMU)
SULTAN SELANGOR PERTAMA
1766-1782

SULTAN IBRAHIM IBNI SULTAN SALEHUDDIN
SULTAN SELANGOR KE DUA
1782-1826

SULTAN MUHAMMAD IBNI SULTAN IBRAHIM
SULTAN SELANGOR KE TIGA
1826-1857

SULTAN SIR ABDUL SAMAD IBNI RAJA ABDULLAH
SULTAN SELANGOR KE EMPAT
1857-1898

SULTAN SIR ALAEDIN SULEIMAN SHAH IBNI RAJA MUDA MUSA
SULTAN SELANGOR KE LIMA
1898-1938

SULTAN SIR HISAMUDDIN ALAM SHAH ALHAJ IBNI SULTAN
SIR ALAEDDIN SULEIMAN SHAH
SULTAN SELANGOR KE ENAM
1938-1942 & 1945-1960

SULTAN MUSA GHIATUDDIN RIAYAT SHAH
SULTAN SELANGOR KE TUJUH
1942-1945

DYMM SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH ALHAJ IBNI ALMARHUM SULTAN HISAMUDDIN ALAM SHAH ALHAJ
SULTAN SELANGOR KE LAPAN
1960-2001

DYMM SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH ALHAJ IBNI ALMARHUM SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH ALHAJ
SULTAN SELANGOR KE SEMBILAN
2001-MASIH BERTAHTA
Raja-raja Melayu dan orang Bugis Luwok


Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah (Raja Kecil) yang memerintah Johor Riau-Lingga sabagai Sultan Ke-12, mendirikan pusat pemerintahan di Siak, Sumatera pada tahun 1718. Maka, Sultan Sulaiman I, Sultan Johor-Riau-Lingga ke-13 yang berketurunan Wangsa Bendahara, menggunakan orang-orang Bugis dari Luwok, Makassar kecil, yang berkampung di Kelang untuk mendapat balik kerajaan Johor-Riau-Lingga dari Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah.
Sebaik sahaja orang Bugis menerima persetujuan dari Sultan Sulaiman I, angkatan Bugis Luwok terus datang dengan tujuh buah kapal menuju ke pusat kerajaan Johor-Riau di Riau untuk menyerang. Kerajaan Johor-Riau alah di dalam peperangan ini dalam tahun Hijrah 1134. Sebagai upahan, Sultan Sulaiman I bersetuju untuk melantik seorang Bugis Luwok menjadi Yamtuan Muda Riau di Riau, bagi mempertahankan agama dan kerajaan Johor, Riau dan Lingga diserang dari luar dan dalam.
Setelah Riau berjaya ditawan, orang-orang Bugis Luwok balik ke Kelang untuk mengumpulkan orang Bugis untuk menyerang kerajaan Johor-Riau yang telah dapat menawan Riau kembali dari Sultan Sulaiman 1; raja bendahara-bendahara. Sebaik sahaja mendapat tahu penawanan Riau oleh Raja Kerajaan Johor-Riau-Lingga, Bugis Luwok, dengan 30 buah kapal, menuju ke Riau untuk berperang sekali lagi. Di dalam perjalanan, mereka menawan Linggi, sebuah daerah di Negeri Sembilan yang ketika itu dibawah kuasa kerajaan Johor-Riau-Lingga. Setelah mendapat tahu tentang penaklukan itu, pasukan raja kerajaan Johor-Riau-Lingga segera ke Linggi untuk menyerang balas.
Pihak Bugis Luwok telah berpecah dimana 20 buah daripada kapal meneruskan perjalanan menuju ke Riau dan diketuai oleh tiga orang daripada mereka. Sultan Sulaiman I telah datang dari Terengganu dan turut serta memberi bantuan untuk menawan semula Riau. Dalam peperangan ini, mereka telah berjaya merampas kembali tapak kerajaan Johor-Riau di Riau dimana kemudiannya Sultan Sulaiman I mendirikan kerajaan baru Johor-Riau.
Setelah mengetahui penawanan tapak kerajaan Johor-Riau di Riau, Sultan A Jalil Rahmat Tengku Kecil Shah, raja kerajaan Johor-Riau-Lingga kembali ke Siak kerana baginda juga telah gagal menawan semula Linggi dari tangan Sultan Sulaiman I. Pada tahun 1729, Bugis Luwok sekali lagi menyerang raja kerajaan Johor-Riau-Lingga di Siak ketika Raja Kecil ingin memindahkan alat kebesaran Diraja Johor-Riau-Lingga (sebuah meriam) ke Siak. Setelah mengambil semula kebesaran Diraja tersebut, Sultan Sulaiman I kemudiannya naik takhta Johor-Riau-Lingga sebagai Sultan Johor dengan membawa gelaran "Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah" yang memerintah Johor, Riau, dan Lingga.
Sultan Sulaiman telah melantik Daeng Marewah sebagai Yamtuan Muda Riau pertama dari Sapuloh. Kemudian adik perempuannya, Tengku Tengah, pula dikahwinkan dengan Daeng Parani yang mana suaminya telah mangkat di Kedah semasa menyerang raja kerajaan Johor-Riau Sultan A Jalil Rahmat Raja Kecil Shah disana. Seorang lagi adik Sultan Sulaiman Tengku Mandak dikahwinkan dengan Daeng Chelak (1722-1760).
Dalam tahun 1730-an, seorang Bugis bernama Daeng Mateko yang berbaik dengan raja kerajaan Siak mengacau ketenteraman Kelang; negeri Melayu yang diserahkan kapada orang Bugis Luwok sabagai upah membantu Sultan Sulaiman I mendapat kembali kerajaan Johor-Riau-Lingga. Ini menjadikan Daeng Chelak datang ke Kuala Selangor dengan angkatan perang dari Riau. Daeng Mateko dapat dikalahkan dan kemudiannya beliau lari ke Siak. Semenjak itu, Daeng Chelak sentiasa berulang-alik dari Riau ke Kuala Selangor.
Ketika Daeng Chelak berada di Kuala Selangor penduduk Kuala Selangor memohon kepada beliau supaya terus menetap di situ sahaja. Walau bagaimanapun, Daeng Chelak telah menamakan salah seorang daripada puteranya, iaitu Raja Lumu, datang ke Kuala Selangor. Waktu inilah datang rombongan anak buahnya dari Riau memanggil Daeng Chelak pulang ke Riau dan mangkat dalam tahun 1745.

Raja Lumu (1742-1778)

Daeng Lumu adalah punca kerajaan awal di Kuala Selangor. Daeng Lumu dilantik menjadi Yang DiPertuan Kelang pertama, dan Daeng Loklok dilantik menjadi Datuk Maharaja Lela.
Sultan Iskander Zulkernain (1752-1765), Raja Kerajaan Perak ke-15 pun menyambut utusan dari Daeng Lumu di Kuala Bernam sebagai pertemuan dengan baginda. Ketibaan Daeng Lumu disambut dengan penuh istiadat raja. Setelah semua ujian itu tidak mendatangkan apa-apa bencana terhadap Daeng Lumu, baginda Sultan Iskander Zulkernain pun mengesahkan perlantikan tersebut; setelah Sultan Sulaiman I, Raja Kerajaan Johor-Riau-Lingga menolak permohonan Bugis Luwok Diraja sabagai Raja Kelang. Pertabalan penuh sejarah itu dilakukan di Pulau Pangkor dalam tahun 1756. Selesai sahaja pertabalan, Raja Lumu pulang ke Kuala Selangor.
Itulah Raja Selangor yang pertama bersemayam di atas Bukit Selangor yang dikenal dengan nama "Bukit Malawati". Menurut Tuffatul al Nafis karangan Almarhum Raja Ali Al Haji, Riau, disitu ketika Tengku Raja Selangor (Raja Lumu) pergi bermain ke Pulau Pangkor, Raja Lumu dijemput oleh Yang DiPertuan Perak untuk mengadap. Kemudian Raja Lumu pun berangkat pulang ke Kuala Selangor.
Kemangkatan Raja Lumu meninggalkan empat orang anak, iaitu Raja Ibrahim, Raja Nala, Raja Punuh dan Raja Sharifah. Baginda juga telah melantik seorang Bugis bernama Daeng Loklok bergelar Datuk Maharaja Lela Husain. Seorang daripada anak perempuannya bernama Cik Long Halijah berkahwin dengan Raja Ibrahim, putera Raja Lumu dan juga Raja Selangor Kedua.
Raja Lumu mangkat dan dikebumikan di atas Bukit Selangor dan dinamakan "Marhum Salleh". Baginda memerintah kerajaan Daeng Lumu adalah punca kerajaan awal di Kuala Selangor. Daeng Lumu dilantik menjadi Yang DiPertuan Kelang Pertama, Daeng Loklok dilantik menjadi Datuk Maharaja Lela.
Kemangkatan Raja Lumu meninggalkan empat orang anak, iaitu Raja Ibrahim, Raja Nala, Raja Punuh dan Raja Sharifah. Baginda juga telah melantik seorang Bugis bernama Daeng Loklok bergelar "Datuk Maharaja Lela Husain". Seorang daripada anak perempuannya bernama Cik Long Halijah berkahwin dengan Raja Ibrahim, putera Raja Lumu dan juga Raja Selangor kedua. Raja Lumu mangkat dan dikebumikan di atas Bukit Selangor dan dinamakan "Marhum Salleh". Baginda memerintah dari tahun 1743 (1756) hingga 1778.

Sultan Ibrahim (1778-1826)


Raja Ibrahim, putera sulung Sultan Salehuddin, dilantik menjadi Sultan Selangor kedua, adiknya Raja Nala dilantik menjadi Raja Muda dan dua orang yang lain menjadi Orang Besar bergelar di Selangor. Sultan Ibrahim dianggap seorang sultan yang berani berhati waja di samping mempunyai pengalaman yang melalui percampurannya semasa dari kanak-kanak lagi.
Bunga peperangan dan perang kecil sentiasa berlaku antara orang Bugis dengan orang Belanda sejak tahun 1740-an lagi. Api ini terus menyala selepas 14 Januari, 1784. Peperangan inilah yang mengakibatkan mangkatnya Raja Haji oleh Belanda, kemudiannya dimakamkan di Teluk Ketapang digelar "Marhum Ketapang".
Kemangkatan Raja Haji menimbulkan kemarahan Sultan Ibrahim menyebabkan Selangor terlibat secara langsung dari persengkitaan antara Belanda dengan Johor itu. Sebagai persiapan berjaga-jaga dari serangan Belanda terhadap Selangor, Sultan Ibrahim telah membina dua buah kota. Kota batu atas Bukit Selangor dan kota tanah di atas Bukit Tanjung.
Sangkaan ini tepat, pada 2 Ogos 1784, Belanda meyerang dan menakluki kedua-duanya kota tadi. Sultan Ibrahim dengan orang-orangnya lari ke Ulu Selangor, lalu ke Pahang menemui Bendahara Ab. Majid meminta bantuan.